Kerajaan tubuh Tabung Harapan Malaysia terima derma rakyat – Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad

PUTRAJAYA, 30 Mei (Bernama) — Kerajaan akan menubuhkan Tabung Harapan Malaysia untuk menerima derma rakyat bagi mengukuhkan kewangan kerajaan, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata penubuhan tabung itu adalah bagi memastikan derma rakyat Malaysia yang patriotik akan sampai kepada Kementerian Kewangan.

“Terdapat ramai rakyat Malaysia apabila tahu kedudukan kewangan negara yang buruk, mereka sanggup memberi derma kepada kerajaan.”

“Kita mengalu-alukan sikap patriotik mereka dan mengucapkan terima kasih,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat kabinet di Perdana Putra, di sini hari ini.

Dr Mahathir berkata nombor akaun sumbangan itu akan diumumkan dalam sedikit masa lagi.

Pengumuman mengenai hutang negara yang berjumlah RM1 trilion telah mendapat perhatian rakyat Malaysia baru-baru ini dengan ramai antara mereka menyatakan kesediaan untuk menderma kepada kerajaan bagi mengurangkan hutang tersebut di media sosial.

Dalam pada itu, Perdana Menteri turut mengumumkan “Sayangi Malaysiaku” sebagai tema Hari Kebangsaan bagi tahun ini.

Mengenai Program PERMATA, Dr Mahathir berkata ia akan dipindahkan dari Jabatan Perdana Menteri (JPM) ke Kementerian Pendidikan.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebelum ini berkata PERMATA akan diteruskan memandangkan ia program yang baik dalam membantu meningkatkan pembangunan dan kebajikan kanak-kanak tetapi ia perlu dikaji dan diaudit terlebih dahulu.

Ditanya mengenai desas-desus Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan dibubarkan, Dr Mahathir berkata kedudukan jabatan itu masih belum dibincangkan di peringkat kabinet.

Bagaimanapun, katanya satu kumpulan ulama dan individu berpengetahuan dalam agama Islam akan membincangkan peranan Jakim di negara ini.

— BERNAMA

Comments

comments

zawani