Grab Mengumumkan Kerjasama Dengan Maybank Untuk Dompet Digital, GrabPay

Grab pada minggu lepas telah mengumumkan akan melancarkan dompet digital GrabPay untuk pasaran Malaysia. Hari ini, berkongsi lanjut, Grab turut mengumumkan akan bekerjasama dengan Maybank untuk tujuan mempopularkan transaksi nirtunai berkenaan, dan menyasarkan untuk melancarkan GrabPay Beta dalam beberapa minggu lagi.

Melalui kerjasama dengan Maybank ini, kelak pengguna GrabPay akan boleh membayar di kedai-kedai yang menerima bayaran melalui Maybank QRPay – sekaligus menjadikan angka kedai yang menerima GrabPay terus tinggi ketika pelancarannya kelak.

Selain daripada itu, GrabPay juga akan mengintegrasikan sokongan tambah-nilai terus melalui Maybank2U ke GrabPay. Untuk menarik pengguna menggunakan GrabPay, pihak Grab akan turut menawarkan GrabRewards untuk penggunaan.

Bagi yang tidak mengetahui akan GrabPay, ia merupakan penawaran dompet digital daripada Grab untuk transaksi nirtunai. Pengguna boleh menggunakan aplikasi berkenaan dan mengimbas kod QR dan melakukan pembayaran terus melaluinya. Langkah ini membolehkan anda membuat bayaran pada kedai fizikal tanpa menggunakan wang tunai, tetapi segalanya terus melalui telefon pintar anda.

Dengan Grab yang menyasarkan pengenalannya dalam beberapa minggu lagi, kita mungkin mendengar lanjut mengenai GrabPay ini dalam minggu-minggu akan datang.
SUMBER: AMANZ.MY

Comments

comments

zawani