Maybank kali pertama catat untung tertinggi

Kuala Lumpur: Malayan Banking Bhd (Maybank) kali pertama mencatatkan keuntungan sebelum cukai tertinggi dalam sejarah berjumlah RM10.1 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2017.

Ia meningkat RM1.26 bilion atau 14.25 peratus berbanding RM8.84 bilion yang dicatatkan pada tahun sebelumnya.

Keuntungan kasar bank terbesar di Malaysia dan keempat terbesar di Asia Tenggara dari segi aset itu mencecah paras RM10 bilion.

Bagi keuntungan bersih, Maybank mencatat paras tertinggi baru RM7.52 bilion, naik 11.5 peratus daripada RM6.74 bilion yang dicatatkan tahun sebelumnya.

Pendapatan operasi bersih kumpulan meningkat kepada RM23.27 bilion disumbang peningkatan 18.7 peratus daripada insurans dan takaful kumpulan, 6.4 peratus daripada perkhidmatan kewangan komuniti kumpulan dan 1.6 peratus daripada Perbankan Global Kumpulan.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya Datuk Abdul Farid Alias berkata, disiplin dalam penetapan harga dan pelaksanaan terancang pelan perniagaan sepanjang tahun membantu Maybank mencapai prestasi rekodnya untuk 2017.

“Tahun ini juga dilihat sama mencabar seperti tahun lalu memandangkan pasaran tidak menentu yang dapat dilihat pada awal tahun ini.

“Kami tetap berhati-hati dengan kejutan secara tiba-tiba terhadap persekitaran dan akan mengekalkan pendekatan yang bijak dalam mencapai pertumbuhan dengan memberi tumpuan kepada keuntungan serta pengurusan kos dan kecairan yang berkesan,” katanya pada taklimat media sempena pengumuman laporan kewangan bank itu untuk tahun 2017 di sini, semalam.

Hadir sama, Pengerusi Maybank, Datuk Mohaiyani Shamsudin.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Mac 2018 @ 4:08 AM HARIAN METRO

Comments

comments

zawani