Farid Kamil didakwa guna dadah jenis THC

PETALING JAYA: Selepas didakwa atas empat pertuduhan minggu lalu, pelakon dan pengarah filem, Datuk Farid Kamil Zahari sekali lagi dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menggunakan dadah jenis THC.

Farid, 37, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nor Ariffin Hisham.

Farid tiba di Kompleks Mahkamah pada 10.10 berpakaian sut biru gelap ditemani adiknya, Fadzil Bahari Zahari, 35 dan beberapa anggota keluarga lain.

Mengikut pertuduhan, hero filem Lagenda Budak Setan dan V3 Samseng Jalanan itu didakwa telah menggunakan dadah berbahaya jenis tetra hydrocannabinol atau THC di Pejabat Narkotik Daerah Petaling Jaya, pada 4.30 petang, 11 Jan lalu.

Dia dituduh mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum menerusi Seksyen 15 dan Seksyen 38B akta sama, yang membawa hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara hingga dua tahun atau kedua-duanya dan diwajibkan pengawasan polis selama dua tahun, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Fazeedah Faik tidak menawarkan sebarang jaminan, bagaimanapun Farid yang diwakili peguam Athari Bahardin memohon mahkamah membenarkan jaminan terhadap anak guamnya atas alasan dia menanggung dua anak yang masih kecil.

“Tertuduh bekerja dalam industri hiburan dengan pendapatan tidak menentu, dia juga menanggung ibu bapa yang sudah tua manakala adik tertuduh, Fadzil yang akan menjaminnya pula bekerja dalam bidang pengiklanan dengan pendapatan RM4,000 sebulan. Mohon jaminan dikurangkan,” katanya.

Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin beserta syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah hingga kes selesai dan menetapkan 5 Mac untuk sebutan semula kes.

Pada 16 Jan lalu, Farid mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini atas empat pertuduhan iaitu dua tuduhan menyebabkan kecederaan, berkelakuan tidak senonoh dan mengganggu tugas penjawat awam di Kaunter Pertanyaan Balai Polis Trafik Kota Damansara, Petaling, di sini pada 11 Jan lalu.

Bagi kesemua pertuduhan itu, mahkamah membenarkan jaminan RM12,000 dengan seorang penjamin dan kes akan disebut semula pada 5 Mac.

Dalam kejadian, pelakon itu dilaporkan datang ke balai polis berkenaan untuk membuat laporan berkaitan satu kemalangan jalan raya.

— BERNAMA

Comments

comments

zawani