Grab Malaysia dapat lesen e-wang


GRAB, 
syarikat perkhidmatan e-hailing (e-panggilan) utama di Malaysia dan Asia Tenggara, mendapat lesen e-wang bagi perkhidmatan pembayaran daripada Bank Negara Malaysia (BNM).

Pengarah Urusan GrabPay, Jason Thompson berkata, dengan lesen berkenaan syarikat kini menghubungkan perkhidmatan ke kedai dan restoran yang membolehkan pelanggan mendapat manfaat daripada perkhidmatan tanpa tunai.

“GrabPay diadakan bagi membantu pelanggan dan peniaga di ekonomi pesat membangun untuk beralih kepada tanpa tunai dan tanpa kad. GrabPay kini boleh digunakan di rakan kerjasama kami,” kata Thompson kepada Bernama di luar Forum dan Pameran Sistem Pembayaran 2017 di sini hari ini.

GrabPay merupakan sistem pembayaran mudah alih Grab.

Thompson, yang enggan menamakan rakan kerjasama syarikat, menambah bahawa Grab mendapat kelulusan itu daripada BNM dua minggu lalu.

Sementara itu, beliau berkata satu lagi usaha yang diambil oleh Grab untuk menggalakkan pengguna menggunakan pembayaran tanpa tunai ialah dengan menambah mata yang diberikan kepada mereka berbanding mereka yang menggunakan wang tunai.

“Ramai rakyat Malaysia berpendapat menggunakan wang tunai lebih murah tetapi sebenarnya ia adalah sebaliknya.

“Oleh itu, kami ingin menunjukkan bahawa dengan GrabPay, pengguna mendapat lebih banyak mata apabila menggunakan e-pembayaran berbanding tunai,” katanya.

Thompson berkata ini juga seiring  dengan langkah Malaysia untuk beralih menjadi ekonomi pertama digital dan bernilai tinggi.

Beliau juga mendedahkan bahawa Grab, yang mempunyai lebih daripada lapan juta pengguna dan pemandu sedia ada, mengambil serius perlindungan data pelanggan dan pemandunya.

“Memandangkan kami mempunyai sistem pembayaran sendiri, terdapat peraturan yang perlu kami patuhi. Kami mempunyai perlindungan data dalaman yang ketat kerana kami menyimpan berjuta-juta data, “katanya. – Bernama

Comments

comments

zawani