Ronaldo cipta rekod jaringan

MADRID: Bintang Real Madrid, Cristiano Ronaldo mencipta rekod apabila menjaringkan gol dalam setiap perlawanan Liga Juara-Juara apabila pasukannya mengatasi Borussia Dortmund 3-2, sebentar tadi.

Walaupun tempat Real sudah terjamin ke pusingan 16 terakhir sebagai naib juara Kumpulan H di belakang Tottenham Hotspur tetapi jurulatih Zinedine Zidane tetap menurunkan barisan terkuatnya dengan hanya merehatkan Marcelo, Karim Benzema, Toni Kroos dan Luka Modric.

Penyerang Sepanyol, Borja Mayoral meraih gol pertamanya dalam saingan Liga Juara-Juara pada minit kelapan sebelum Ronaldo meledak gol kedua empat minit kemudian – gol keenam berturut-turut sepanjang aksi peringkat kumpulan.

Bagaimanapun, Dortmund kembali bangkit apabila penyerangnya, Pierre-Emerick Aubameyang meledak dua gol bagi menyamakan kedudukan masing-masing pada minit ke-43 dan 48.

Real berjaya menghapuskan badi keputusan seri dalam tiga perlawanan berturut-turut untuk semua pertandingan apabila penyerangnya, Lucaz Vazquez muncul wira dengan menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-81 sekali gus menamatkan saingan kumpulan dengan 13 mata.

Dortmund gagal menang sebarang aksi peringkat kumpulan tetapi menamatkan saingan di depan APOEL Nicosia berdasarkan perbezaan gol dan layak ke saingan Liga Europa. – Reuters

Comments

comments

zawani