Fattah – Fazura Bertunang


Pasangan selebriti, Fattah Amin, 27, dan Nur Fazura, 34, mengesahkan mereka selamat mengikat tali pertunangan pada 13 November lalu di kediaman keluarga selebriti wanita itu di Petaling Jaya, Selangor.

Kata Fattah rombongan keluarganya berjumpa wakil Fazura pada tarikh berkenaan untuk merisik dan bertunang, sekali gus menepis dakwaan mereka mendirikan rumah tangga sebelum berlepas ke tanah suci.

“Alhamdulillah, proses merisik dan bertunang berjalan dengan lancar apabila pihak keluarga saya ke rumah keluarga Fazura,” katanya dalam sidang media khas yang diadakan di sebuah hotel terkemuka di sini, hari ini. Pelakon lelaki itu turut menafikan mereka sudah pun bernikah sebelum berlepas ke Tanah Suci untuk menunaikan umrah.

“Kami juga tidak bernikah di Makkah,” kata bintang yang bakal muncul dengan drama Coffee Prince itu.

Majlis yang diadakan di kediaman nenek Fazura pada 14 November lalu pula, katanya adalah majlis doa selamat sempena pemergian mereka ke Makkah.

Pasangan selebriti itu muncul pada sidang media terbabit bagi menunaikan janji sebelum berangkat ke Tanah Suci untuk menjelaskan segala desas-desus mengenai pertunangan dan pernikahan mereka.

Fattah turut menjelaskan, mereka kini sedang merancang majlis pernikahan selain dua acara resepsi, masing-masing untuk keluarga dan media serta peminat.

Sementara itu, Fazura turut memberitahu majlis pernikahahan itu akan berlangsung dalam masa terdekat.

“Atas permintaan keluarga, majlis pernikahan akan dibuat dalam masa terdekat dan tertutup manakala resepsi akan dilangsungkan pada tahun depan,”ujarnya.

Pasangan yang hadir sedondon dalam persalinan putih itu dikatakan terus bergegas ke hotel selepas tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di Sepang, kira-kira jam 4 petang tadi.

Comments

comments

zawani